BEIRUT: Menteri Luar Lubnan Abdullah Bou Habib pada Jumaat menggesa "pakej komprehensif" untuk melaksanakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuk pengunduran Israel dari kawasan yang diduduki di Lubnan dan menghentikan pencerobohan darat, maritim dan udara.

Beliau menegaskan bahawa tiada keamanan menyeluruh tanpa Palestin, semasa pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Jerman Annalena Baerbock di Berlin, lapor Agensi Anadolu, memetik Kementerian Luar Lubnan.

"Inisiatif Keamanan Arab yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak Beirut 2002 berdasarkan prinsip penubuhan negara Palestin yang merdeka adalah kunci kepada keamanan dan kestabilan di rantau kita," katanya.

Habib menyatakan rasa terima kasih kepada pihak berkuasa Jerman atas sokongan mereka kepada Lubnan dan sumbangan kepada Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).Pada 11 Ogos, 2006, Majlis Keselamatan PBB sebulat suara menerima Resolusi 1701 yang menyeru untuk menghentikan sepenuhnya permusuhan antara Lubnan dan Israel.

Dari 2006 hingga Oktober 2023, sempadan di selatan Lubnan telah menyaksikan kestabilan yang ketara walaupun berlaku pencerobohan sekali-sekala.

Tetapi sejak Hezbollah terlibat dalam konflik Gaza dengan menyerang kedudukan tentera Israel di kawasan bersempadan dengan Lubnan, Israel bertindak menyerang bandar-bandar di selatan negara itu, mencetuskan kebimbangan.Sebagai solidariti dengan Gaza, Hezbollah dan kumpulan-kumpulan Palestin di Lubnan telah berbalas serangan pada setiap hari dengan tentera Israel sejak 8 Okt.

-- BERNAMA